Kelaziman di seluruh dunia Adiwira

Ada juga adiwira yang tersohor dari negara lain yang kebanyakannya berkongsi kebiasaan model Amerika. Contohnya Cybersix dari Argentina, Captain Canuck dari Kanada dan wira-wira AK Comics dari Mesir.

Japan ialah satu-satunya negara yang menandingi AS dalam pengeluaran adiwira. Kebanyakan adiwira terawal negara ini memakai skarf sama ada sebagai pelengkap atau pengganti mantel dan juga memakai topi keledar sebagai ganti kepada topeng. Ultraman, Kamen Rider, Super Sentai (asas untuk Power Rangers), Metal Heroes dan Kikaider dipopularkan dalam rancangan TV live-action tokusatsu Jepun, manakala Science Ninja Team Gatchaman, Casshan, The Guyver, dan Sailor Moon menjadi kebiasaan anime dan manga. Namun begitu, kebanyakan adiwira Jepun tidak kekal lama. Sementara syarikat hiburan AS mengemaskini dan memperbaharui adiwira dengan harapan untuk mengekalkan populariti mereka selama mungkin, syarikat Jepun pula lebih cepat membersarakan yang lama dan memperkenalkan yang baru, biasanya secara tahunan, agar menyingkatkan barisan dagangan.[perlu rujukan] Tambahan pula, manga Jepun selalu menyasarkan pembaca perempuan, iaitu berbeza daripada komik AS, serta telah mereka jenis-jenis seperti "magical girl" (cth. Cardcaptor Sakura) untuk golongan ini.

Pada tahun 1947, pengarang/kartunis Filipina Mars Ravelo memperkenalkan adiwira wanita Asia yang pertama, iaitu Darna, seorang gadis desa Filipina yang menemui sebutir kerikil azimat mistik dari planet yang lain yang membolehkannya bertukar menjadi seorang wanita pahlawan yang dewasa. Darna merupakan adiwira wanita solo pertama di dunia yang ditampilkan dalam filem wayang cetera pada tahun 1951 dan telah menjadi satu institusi budaya di Filipina.

Adiwira British mula muncul dalam Zaman Emas tidak lama selepas adiwira Amerika terawal menjadi laris di UK.[7] Kebanyakan wira British asli terhad dalam majalah komik antologi seperti Lion, Valiant, Warrior, dan 2000AD. Marvelman, atau Miracleman di Amerika Utara, mungkin sekali adiwira British asli yang paling terkenal (meskipun banyak berdasarkan Captain Marvel). Popular pada tahun 1960-an, pembaca British makin menggemari Marvelman dan pengarang-pengarang komik UK zaman sekarang yang bernama Alan Moore dan Neil Gaiman mengembalikan Marvelman dalam satu siri yang memperbaharui watak-wataknya dalam unsur yang lebih serius, iaitu pendekatan yang agak menonjol dalam wira British yang terbaru, seperti Zenith.

Di Nusantara

Malaysia

Keluang Man ialah siri televisyen animasi adiwira Malaysia akhir 1990-an yang direka oleh Kamn Ismail dan banyak berasaskan rupa keluang. Keluang Man mengisahkan seorang penghuni rumah sakit jiwa yang menemui pakaian aneh yang dipakai tulang rangka lalu memakainya dan menggondol identiti Keluang Man dan berkeliaran di waktu malam dengan tujuan "menegakkan keadilan". Pemakaian adiwira ini serta pembantunya Tiongman, dan kebanyakan penyangak-penyangak dalam siri ini rata-rata merupakan parodi adiwira Amerika, Batman.

Cicak-Man diperkenalkan buat julung kalinya kepada rakyat Malaysia dalam filem cetera yang dikeluarkan pada tahun 2006. Filem terbitan KRU ini menyaksikan seorang pekerja makmal bernama Hairi (lakonan Saiful Apek) meraih kuasa luar biasanya apabila terminum kopi yang tercemar oleh cicak radioaktif yang lebur dalamnya, lalu mereka pakaian serba merah bersisik lalu berazam menentang kuasa kejahatan yang diketuai majikan makmal Hairi, iaitu Dr. Klon (Aznil Nawawi). Filem ini mencapai hasil kutipan RM5.2 juta di pawagam dan merupakan antara filem-filem yang paling berjaya dalam sejarah filem Malaysia terkini.[8]

Pada tahun 2011, diperkenalkannya watak adiwira kanak-kanak BoBoiBoy melalui sebuah siri televisyen animasi terbitan Animonsta Studios. BoBoiBoy mendapat kuasanya daripada sebuah robot dari angkasa lepas, yang mana dia boleh memanipulasi tiga elemen iaitu angin, tanah dan petir, serta berpecah menjadi tiga. Kawan-kawan terdekatnya juga mendapat kuasa super, maka bersama-sama mereka membentuk sebuah kumpulan adiwira muda yang mempertahankan dunia dari ancaman seekor makhluk asing bernama Adu Du yang hendak menawan bumi demi sumber koko.

Indonesia

Gundala merupakan watak adiwira (atau "pahlawan super" sepertimana yang lazim dipakai di Indonesia) ciptaan Harya Suraminata yang muncul dalam siri komik Gundala Putra Petir yang terbit pada tahun 1960-an. Kemasyhuran watak ini mula dibangkit semula hasil penerbitan semula tahun 2000-an, yang lagi-lagi memuncak dengan filem Gundala arahan Joko Anwar pada Ogos 2019 di Indonesia.

Rujukan

WikiPedia: Adiwira http://www.adherents.com/lit/comics/Scarecrow_of_R... http://www.adherents.com/lit/comics/SignificantSev... http://www.adherents.com/lit/comics/comic_collage.... http://www.beliefnet.com/section/quiz/index.asp?se... http://www2.ljworld.com/news/2006/mar/17/v_vendett... http://www.merriam-webster.com/dictionary/superher... http://toonopedia.com/ http://media.wiley.com/product_data/excerpt/00/047... http://uk.videogames.games.yahoo.com/ps2/previews/... http://mstar.com.my/cmspreview/content.jsp?id=com....